Sunday, January 6, 2008

makalah2

Dalam makalah lalu saya telah menerangkan tentang surah asri, di mana Allah telah meletakkan empat sifat atau kategori bagi orang yang tidak akan rugi. Kerugian ini bersifat umum iaitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal dan juga tempoh masa di dunia dan akhirat.



Selain dari orang yang beriman adalah orang yang rugi. Ini kerana Allah hanya akan memberi pahala dan ganjaran bagi amal soleh sesaorang yang beriman dalam erti yang tepat dan betul. Orang yang beriman pun akan rugi jika dia tidak beramal dengan amal yang soleh. Amal soleh mempunyai syarat tertentu untuk diterima Allah termasuklah dari segi niatnya, sahnya sesuatu amalan itu dan dilaksanakan dengan betul dan bersungguh-sungguh atau tekun.

Dua kaedah untuk mempastikan kejayaan dalam amalan sesaorang, lebih-lebih lagi secara berkelompok adalah hakikat bahawa amalan itu berlandaskan kebenaran dan kesabaran. Kedua dua kaedah ini perlu dilaksanakan dalam keadaan dua hala, timbal balek dan saling melengkapi.



Umpamanya dari sudut kebenaran, bahawa setiap pihak hendaklah menuju kepada kebenaran dalam pencarian dan perjuangannya. Kadang-kadang kebenaran itu hanya dapat dilihat setelah diadakan analisa, perbincangan berlandaskan keadaan yang berlaku . Disinilah terletaknya kepentingan perbincangan, perbahasan dan bertukar tukar pendapat, maklumat dan pandangan. Prosesnya hendaklah berjalan dalam adab dan tidak lari dari keiklasan dalam mencari dan menegakkan kebenaran.



Begitu juga kesabaran perlu diamalkan dalam bentuk dua hala iaitu orang yang memberi dan orang yang menerima, atau orang yang membantu dan yang dibantu. Umpamanya orang yang hendak memberi perangsang supaya pihak yang ditimpa musibah bersabar, maka ia juga memerlukan maklum balas dari orang itu tentang masaalah yang dihadapi dan bentuk pertolongan yang diharapkan. Ada ketikanya yang diperlukan hanyalah kata-kata perangsang, ada ketikanya lebih dari itu umpamanya bentuk pujukan, ampati dan simpati, bahkan ada ketikanya berbentuk sokongan material.

Apabila keempat empat sifat atau kreteria ini dapat dihayati barulah sesorang itu berpotensi untuk meraih keuntungan yang hakiki yang disebut oleh Allah itu. Wallahua'lam.wassalam

1 comment:

Radzi Othman said...

satu ulasan yang menarik

moga allah memberkati tn hj


- radzi